" Changing for good is not a sin. Though it will cost you blood and tears for a start." - Sun , Versus ; Hlovate

Thursday 4 April 2013

Kenapa Kau perlu ungkapkan SYUKUR?


Terkenang kisah lalu.

Kisah benar ini berlaku ketika saya mengajar di Daerah Kudat dahulu.

Ada seorang murid tahun satu selalunya berpakaian comot. Setiap hari saya perhatikan apabila mengambil makanan RMT dia tidak makan, tetapi menyimpannya dalam plastik lalu disimpan di dalam beg.

Suatu hari saya tanya kenapa tidak makan makanan tu, kamu tidak lapar?

"Lapar" jawabnya selamba. 

"Jadi kenapa tidak makan?" Dia hanya mendiamkan diri. 

Suatu hari secara saya balik selepas membawa dan menghantar seorang pelajar ke klinik kesihatan yang kira-kira 12 km jauhnya dari sekolah yang terkoyak kulit kepalanya akibat bermain kejar-kejar d bawah kolong sekolah. Ada jugaklah kena 6 jahitan.

Dalam perjalanan ke rumah pelajar yang cedera itu saya terlihat murid yang selalu perhatikan itu berjalan berseorangan balik ke rumah yang jaraknya berbaki kira2 1.5 km. Saya pun menjemputnya naik dan menawarkan bantuan untuk menghantarnya ke rumah. Kelihatan dia sangat suka hati dan tersenyum lebar.

Setelah menghantar pelajar yang cedera dan berbual sedikit dengan ibunya untuk memberi penjelasan, saya pun bergerak untuk menghantar murid tersebut sambil meminta agar murid tersebut menunjukkan jalan.

Apa yang menyentuh hati ialah apabila tiba melihat rumahnya yang telah terlalu uzur bertiangkan batang bakau yang telah di tongkat sana sini. Dinding rumah yang rasanya dikumpul dari sisa-sisa papan dan tidak rapat. Atapnya pula separuh zink yang telah bocor dan sebahagiannya lagi atap nipah. Saya mengagak keluasan rumah sekitar 10 x 14 kaki.

Tiba-tiba kelihatan seorang perempuan comot yang berumur dalam lingkungan awal 30 an mengendap-endap di sebalik pintu. Setelah turun saya pun memberi salam dan telah disambut oleh seorang lelaki kurus yang telah terlalu tua dan kelihatan uzur mempersilakan saya naik ke rumah.

Dengan ragu-ragu saya naik juga (takut rumah roboh), dan mengetahui bahawa lelaki tersebut adalah datuk murid tersebut dan mereka tinggal hanya bertiga termasuk ibu murid.

Ketika bercerita dengan datuknya saya dapat melihat suatu yang hampir membuat saya menangis apabila murid tahun 1 itu bertanya samada ibunya telah makan atau tidak sambil mengeluarkan nasi goreng RMT yang dibawanya dari sekolah di dalam pelastik yang telah lusuh. Tanpa berkata-kata ibunya mengambil makanan tersebut dan terus duduk di penjuru rumah lalu makan tanpa memperdulikan kami dan anaknya yang saya pasti belum makan dengan keadaan yang saya kira bukan perlakuan orang dewasa.

Datuknya memberitahu bahawa ibu murid tersebut tidak betul. Keadaannya itu membuat ada orang telah mengambil kesempatan merogolnya sehingga melahirkan murid tersebut tanpa bapa.

Patutlah bila ditanya mana bapamu, murid tersebut menjawab "mati dimakan yu"

Saya mengambil keputusan untuk membantu setakat yang mampu untuk membelikan keperluan asas murid tersebut di samping memberi lebih masa untuk mendidiknya.

Kedaifannya membuat kan rakan-rakan selalu membulinya sehinggakan pernah beberapa kali seliparnya di baling ke atas bumbung sekolah. Sehingga saya bertindak memberi amaran kepada pelajar atas kapasiti seorang Ketua guru disiplin. Meminta jasa baik pembekal makanan RMT agar memberinya lebih makanan sekiranya ada lebihan dan Alhamdulillah.

Sebelum berpindah dapat saya lihat sudah ada perubahan terhadap murid tersebut, sudah semakin kemas dan sudah boleh membaca walaupun merangkak-rangkak dan sudah membaca Iqra'2. 

Semoga ini menjadi ikhtibar buat diri saya sendiri dan juga kepada kawan-kawan fb yang membacanya.


---------------------------------------

Atas alasan apa lagi kau enggan mensyukuri ni'mat yang Dia kurniakan padamu hari ini?




ps. Kisah benar, diceritakan semula oleh pakcik saya sendiri, bekas guru di sekolah pedalaman Kudat.

No comments: