" Changing for good is not a sin. Though it will cost you blood and tears for a start." - Sun , Versus ; Hlovate

Saturday 6 October 2012

Hati yang Memilih ; Kosong.



Blur. Kosong. Tiada arah. Begitu sikap otaknya kebelakangan in. Dia tidak tahu mengapa tiba-tiba dia merasakan dirinya hilang arah tujuan. Sedangkan sebagai orang mukmin dia tidak seharusnya begitu.

'Orang mukmin itu hidupnya adalah untuk sembah Allah,menjadi khalifah di muka bumi ini… ', begitu kata ibu saban hari sewaktu masa remajanya, jika dia berasa malas untuk bersolat jemaah di surau mahupun untuk menyertai aktiviti kebajikan di kawasan kampung.Ustaznya turut mengatakan kepadanya di dalam kelas agama mereka. Berulang kali ustaz menyebut, menjadi rutin yang janggal ditinggalkan.

'Allah berfirman : Wa maa Khalaqtul Jinna Walins Illaa Liya'buduun.. Tidak aku ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk menyembah aku , surah Az-Zariyat ayat 56...' Begitulah ayat yang ustaz selalu baca sebelum memulakan kelas, ditambah dengan huraian yang pelbagai. Dia mendengar tanpa jemu. Berfikir tanpa rasa.Apabila hijrah termaktub dalam kanvas sejarahnya, dia bertemu dengan sekumpulan pemuda yang sangat soleh. Lebih soleh dari sahabat-sahabatnya di sekolah agama dahulu. Detik kakinya menjejakkan tanah di kepulaun British ini, dia disambut meriah oleh mereka, seolah-olah mereka ibarat rakan lama. Mereka membawanya ke rumah untuk bertamu nasi dan lauk malaysia. Tidak kempunan dia akan gulai asam pedas ibu di kampung. Ibu kata rajin-rajin masak di negara orang. Masih tersemat resepi ibu di dalam poket sewaktu permergian dia ke negera baru. Bukan orang Johor jika nasi tidak bergulaikan asam pedas!

Dari kenalan biasa, mereka menjadi sangat intim sehingga ke mana-mana sahaja mereka pasti bersama.Walau mereka bukan sebaya namun dia berasa sangat selesa bersama mereka. Apatah lagi duduk di negara orang tanpa keluarga yang boleh berkongsi rasa suka dan payah di situ. Pada dia, merekalah abang dan sahabat. Rakan barunya itu sering membawanya ke 'study circle' bersama orang-orang muslim di situ. Bukan sahaja dia dapat kenal dan bertutur dengan masyarakat Muslim British, malah dia dapat tahu betapa terbukanya pemikiran mereka. Cara masyarakat Muslim British berfikir lain dari masyarakat Melayu. Muslim di sini belajar untuk beramal, dan mereka faham akan asas-asas Islam sehingga mampu menghuraikan tentang Islam kepada yang bukan Muslim. Berbeza dengan masyarakat Melayu yang tidak tahu bagaimana untuk berdakwah kepada masyarakat Cina dan India di Malaysia sendiri. Kagum dia melihat teman-teman Muslim tempatan membidas hujah-hujah masyarakat Kristian tentang isu poligami, hijab dan terrorisme dalam bahasa Inggeris yang fasih dan jelas. Dia sendiri berasa malu dengan dirinya sendiri kerana masih tidak mampu memahami Islam sejelas mereka apatah lagi menerangkan kepada manusia lain sehingga mereka tertarik dan menganut Islam.

Dia merasakan ketenangan berada di dalam kelompok mereka. Dia berasa dia lebih beriman dengan apa yang dia tahu dengan Islam apabila bergaul dengan masyarakat yang dambakan Islam di tengah kelompok masyarakat jahiliyyah dan kuffar. Dia sendiri berasa pelik bagaimana mungkin dia boleh jadi sebaik ini tatkala datang ke negera penjajah tanah Melayu ini. Mungkin lagi susah kita mahu dapatkan sesuatu, lagi kita hargainya, begitu dia berfikir. Lagi sukar untuk mendapatkan ilmu Islam, lagi kita menghargai Islam itu sendiri.

‘Tugas kita adalah menjadi hamba Allah dan khalifah Allah’, begitu kata khatib berbangsa German seusai solat Jumaat di surau kecil di universiti.


Khalifah Allah? Apakah itu sebenarnya? Sering benaknya berfikir, namun Shish, rakan Pakistanya menyebut dalam bahasa Inggeris berloghatkan Urdu, ‘Itu adalah tugasan kita untuk mentadbir alam ini,memastikan segala yang hidup di dunia ini berputar pada paksi yang satu iaitu pada Allah Taala semata-mata’.

Dia blur, tetapi mengangguk tanpa faham. Bagaimana sebenarnya untuk melaksanakan perkara itu? Kenapa kita perlu lakukan semua itu? Otaknya masih nakal untuk bertanya, sanubarinya terlonjak-lonjak mahukan jawapan. Namun mulutnya sering berkunci kerana dia tidak mahu memalukan dirinya sendiri.

Dia tahu Allah ciptakan manusia untuk menyembahNya semata-mata, tidak yang lain. Dia arif akan perkara itu, tetapi mengapa tidak dapat dia rasai benda itu? Mengapa ia tidak merasakan apa sahaja yang dibuat adalah merupakan manifestasi ibadahnya kepada Allah? Tidak berimankah dia? Tidak ikhlaskah dia? Apakah makna iman? Apakah makna ikhlas?

Cukup! Cukup! Bentaknya sendiri. Dia perlu hentikan soalan-soalan itu. Dia tidak mahu pening sendiri. Apa yang dia mahu adalah untuk merasakan apa sahaja yang dipelajari. Dia tidak mahu banyak ilmu namun langsung tak rasa apa-apa. Main ikut sahaja apa yang dia tahu. Perasaan itu penting!

Dia masih termangu-mangu di atas meja belajarnya. Haba elektrik yang sudah dipasang penuh tidak mampu melawan kedinginan cuaca di hari itu. Hawa dingin itu masih mampu menyelit ke dalam biliknya melalui celahan pintu dan tingkap. Dia melihat keluar jendela dan memerhatikan rintik-rintik salju turun memutihi seluruh daerah tempat dia bermukim. Indahnya melihat salju namun perit apabila memegangnya. Memegang salji adalah seperti memegang ais yang diambil dari peti ais. Sejuk yang mencengkam.


Apa ada pada salji? Tentu banyak yang Allah mahu manusia belajar dari salji. Dia sangat seronok bertemu dengan salji. Bermain-main dengan kepulan ais. Mengambilnya dan membalingnya ke tanah. Dia selalu melihat di dalam filem orang barat, mereka bermain-main dengan salji, membuat orang salji dan berdamparan di atas salji terutama sewaktu perayaan hari Krismas. Sudah lama dia berkeinginan untuk memegang salji. Bermain dengan salji walaupun dia tahu perasaan itu wujud kerana salji tidak pernah ada di negaranya sendiri.



Hari ini dia tidak berniat untuk keluar bermain salji. Seronoknya cuma sementara. Dia perlu memakai pakaian tebal dan sarung tangan yang kalis air jika mahu bermain. Jika tidak tangannya akan bengkak kesejukan. Lagipun salji turun agak lebat, dia lebih rela duduk di dalam bilik dan belajar untuk persediaan peperiksaan akhir tahunnya.

Salji mengingatkan dia akan dosa dan pahala. Tentang hati manusia. Salji itu putih,bersih dan sempurna, sedangkan hati manusia yang bergolak sering bercampur aduk antara kekotoran dan kebersihan. Jika manusia dapat gambarkan ketulan hati mereka seperti seketul ais, tentu mereka mahu hati mereka seputih ketulan ais itu. Kerana putih itu indah. Jika diambil ketulan ais yang telah bercampur tanah, tentu mereka tidak akan bermain dengan ais tersebut, kerana pada sudut pandangan cetek manusia, ais sebegitu adalah kotor dan tidak sempurna. Namun ramai manusia tidak mampu mengambil perumpamaan dan pelajaran dari sejumlah besar ciptaan Allah.


‘Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menjadikan awan bergerak perlahan, kemudian mengumpulkannya, lalu Dia menjadikannya bertumpuk-tumpuk, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan Dia menurunkan ais dari langit, dari gunung-gunung, makan ditimpakannya ais itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan dihindarkanNya dari siapa yang Dia kehendakinya. ( An-Nur: 43)’


Buku ‘pathology’ terkuak luas di hadapannya namun dia masih memikirkan persoalan yang besar di benaknya. Dilihat jam di tangan. Dhuha masih ada. Dia mengambil wudu’ dan membentangkan sejadah. Bersiap sedia untuk menyempurnakan dua rakat sunat buat Rabb. Berikanlah aku hidayah untuk merasai imanMu Ya Allah! Bisiknya dalam hati. Dia ingin bertemu dengan jawapan kepada setiap persoalannya.

Setelah munajat yang panjang pada Allah, dia duduk berteleku dan berfikir. ‘Berfikir itu lebih baik daripada ibadah selama 1000 tahun’, ungkap salah seorang sahabatnya di satu ketika. Dia berasa sangat tenang apabila bercakap dengan Allah. Mencurahkan segala keresahan dalam hatinya. Dia rasa lapang. Dan dia rasa Allah berada bersamanya ketika itu.

Akhirnya dia bertemu jawapan kepada semua persoalan-persoalannya. Dia tahu banyak perkara tentang Islam tetapi dia tidak merasakan kepentingannya. Dia laksanakan apa yang dia tahu namun dia masih berasa belum puas. Seperti seorang ilmuwan kristian yang belajar tentang al-Quran namun tidak pernah beriman kepada Allah.

Akhirnya ilham itu muncul. Ya, dia tahu sekarang bagaimana untuk merasai apa yang dia tahu. Dia tahu bagaimana untuk merasai kemanisan iman itu.

Diambilnya buku ‘Kumar and Clark’ yang berada di sisi katilnya. Dibukanya halaman tengah secara rawak. Dibacanya beberapa perenggan.

Serum calcium levels are mainly controlled by parathyroid hormone (PTH) and vitamin D. Hypercalcaemia is much more common than hypocalcaemia and is frequently detected incidentally with multichannel biochemical analysers.

Dia cuba memahami dengan hati,namun gagal. Dia memahami dengan akal. Walaupun terpaksa membaca berulang kali namun dia faham juga akhirnya. Tutup. Diambilnya novel pemberian kakaknya pula, ‘Life of Pi’. Dia membaca untuk beberapa ketika. Dia terleka. Menghayati setiap bait ayat dengan penuh perasaan. Patutlah ramai orang mengantuk bila membaca buku akademik tetapi mampu berjaga malam untuk menghabiskan novel. Ditutupnya novel tersebut dan diambilnya al-Quran yang berada di sisi.

Dibacanya beberapa ayat dalam surah Az-Zariyat termasuk ayat ke 56 itu. Dia membaca maknanya sekali. Kali ini,buat pertama kalinya, dia membaca dengan hati. Sukar pada mulanya, namun dia terus mencuba. Membayangkan bahawa Allah menurunkan Al-Quran itu pada dia. Merasakan Allah berkomunikasi dengannya.

Dia terus membaca dan menghayati makna dari Al-Quran tersebut sehingga benar-benar meresap ke dalam hatinya. Perlahan-lahan, air matanya turut bergenang, perasaannya turut basah dengan keinsafan. Kenapa tidak dia rasakan sebelum ini? Membaca tanpa memahami,mendengar tanpa menghayati. Sedangkan ini kalam Allah! Jika dia dapat menghayati novel sampai menangis-nangis,mengapa tidak untuk kitab Allah? Dia kaget akan dirinya. Mahu salahkan siapa jika dia sendiri tidak menyedarinya? Begitu benar apa yang dikatakan dalam Al-Quran,


‘ Maka tidakkah mereka mentadabburi( menghayati) Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?’ (Muhammad: 24)

“Dan sungguh akan Kami isikan neraka Jahanam dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati,tetapi tidak mempergunakannya untuk memahami dan memiliki mata tetapi tidak melihat dan memiliki telinga tetapi tidak mendengar. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi’ ( Al-A’raf: 7)


Sedihnya hatinya memikirkan keadaan dirinya yang tidak peka dan menyedari kerugian yang dia hadapi kerana tidak membaca Al-Quran dengan hatinya. Al-Quran disamakan ketika membaca buku-buku perubatannya.  Kosong dari makna, jauh dari ruh!

Kini sudah dia mula memahami apa yang sering dialunkan di telinganya, ‘Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku.’ Dan dia benar-benar merasakan itu dengan hati. Bukannya dengan beribadah secara rutin pada Allah tetapi turut memenuhi hak-hakNya. Akan dia jadikan seluruh kehidupannya, dari bangun tidur sehinggalah dia tidur kembali, sebagai ibadah kepada Allah, dengan melakukan sesuatu hanya kerana Dia. 

Dia turut faham akan makna khalifah di atas muka bumi ini. Diselaknya halaman al-Quran dan didapatinya ayat yang dikehendaki. Dia membaca dengan kuat. Mahu ayat itu turut bergema dalam hatinya dan meresap ke dalam pembuluh darahnya. Dia mahu hidup berpaksikan ayat ini.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.’( Al-Baqarah:30)

Ya, khalifah! Tugas yang membezakan manusia dengan makhluk Allah yang lain. Tugasan yang hanya sanggup dipikul manusia, bukan umat yang lain. Tanggungjawab yang meninggikan martabat dan nilai manusia di alam semesta ini. Namun cuma secubit manusia memahami dan melaksanakan amanah ini.



Khalid rakannya dari Syria pernah berkata padanya, mengapa Allah menyuruh kita menjadi khalifah adalah untuk kita menyeru seluruh manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah. Manusia wajib memastikan seluruh makhluk yang melata di atas dunia ini untuk tunduk kepada Allah. Dengan cara itulah manusia dapat menjadi pentadbir alam ini. Dia teringat sebuah kisah yang pernah terjadi kepada Abu Dzar, sorang sahabat Nabi. Beliau hanya menemui Rasulullah selama tiga hari untuk mendalami Islam. Kemudian dia pulang menemui kaumnya dan berhasil mengislamkan mereka keseluruhannya. Tidak perlu tahu terlalu banyak untuk menyampaikan Islam, malah perlu berkongsi apa sahaja yang kita tahu tentang Islam.


Dia menutup Al-Quran yang dibacanya serta memerhati di luar jendela bilik kecilnya. Salji masih mesra dengan alam, turun dengan rintik yang perlahan-lahan. Dia menyedut nafas panjang dengan lega. Alhamdulillah, kini dia sudah faham dan mengerti maksud kehidupanya. 

Fikirannya sudah tidak kosong lagi.




Muharikah -


No comments: