Pernahkah kau mengalami kejadian seperti kau tidak dapat tidur dan mata kau asyik terencap pada syiling bilik yang ada lekatan 'glow in the dark' sambil minda kau ligat berfikir tentang perkara yang kau tidak pernah sangka kau akan fikir benda tu. Atau sedang kau asyik nikmati cucur atau pisang goreng yang mak kau buat di meja makan di bawah kipas yang ligat berputar sambil merenung teh yang sudah suam-suam kuku memikirkan persoalan yang memerlukan kerjasama hati dan minda. Memerlukan akal dan perasaan. Apa? Kau fikir aku akan berbicara tentang kahwin dan cinta lalu bahagia? No. Di situ kita ndak ber-ngam orang Sabah bilang.
Pernahkah kau terfikir apakah makna kehidupan kau hari ini? Kenapa kau ada di atas tilam empuk berbantalkan kapas yang dibalut dengan alas bunga ropol-ropol atau kenapa kau ada di atas sebuah basikal 3 roda, mengayuh dengan riang tatkala bermain dengan jiran sebelah yang gemuk? Atau kenapakah kau berada di Universiti tersohor dunia dengan timbunan kertas esaimen yang tiada belas kasihan tambahan pula esok ada ujian subjek paling susah di dunia? Kenapa? Siapa kau? Apa yang kau mahu dalam hidup?
Pernahkah kau terfikir benda tu?
Manusia kebanyakannya hidup adalah demi mengejar cita-cita. Cita-cita manusia adakala tidak terbilang banyaknya. Ada yang mahu jadi kaya, jadi fofular, jadi doktor, jadi jutawan, jadi itu, jadi ini. Cita-cita ialah perkara yang kelihatan, diketahui, dinikmati. Misalan sahaja kau bercita-cita untuk naik pangkat. Dan kau pergi menghadiri ujian naik pangkat, selepas itu keputusan keluar dan orang tanya keputusan kau, kau berjaya naik pangkat. Cita-cita tercapai. Dan semua orang tahu.
Apakah kebahagiaan manusia yang sebenarnya? Mencapai cita-cita? Benarkah kebahagiaan itu destinasi?
Pernahkah kau merasa penat lelahnya belajar siang malam, buat nota kecil, bangun tengah malam untuk bertahajjud, ketika sujud terakhir dalam solat sunat hajat lama sehinggakan orang fikir kau sudah koma ketika itu demi mendapatkan A dalam subjek matematik tambahan? Atau kau sanggup mengambil upah kerja mengisi minyak di stesen Petronas atau Shell, sanggup berjaga malam di sana, atau menjadi pelayan di restoran 24 jam demi mendapatkan wang untuk membeli sibiji iPhone? Apakah kau merasa puas apabila berjaya dapat A ataupun sudah berjaya membeli iPhone bukan sekenhen dengan usaha kau sendiri? Bahagia? Itukah kebahagiaan? Cuba kau imbas kembali?
Pada apa sebuah kebahagiaan itu? Pada rumah yang besar? Jika iya, maka Firaun ialah manusia yang paling bahagia sekali. Jika pada kekayaan itulah kebahagiaan, maka Qarun lah
manusia yang paling bahagia. Tapi sekarang, di manakah mereka? Benarkah merekalah manusia paling bahagia?
Bukankah kebahagiaan itu adalah sepanjang usaha kau? Ketika kau terlelap seketika dan kemudian terbangun semula pada jam 2 pagi lalu kau teruskan dengan latihan Matematik kau? Ataupun ketika kau dimarah oleh pelanggan kerana tersalah bagi makanan atau pula ketika pelanggan tersipu ketika kau mengambil makanan mungkin sebab kau terlalu hensem atau chantek? Bukankah sepanjang usaha kau itulah yang memberikan kau seribu satu kenangan? Cuba kau imbas kembali. Benarkah hasil segala pengorbanan itu adalah kebahagiaan? Bukan. Kebahagiaan bukan destinasi. Tapi kebahagiaan itu perjalanan. Perjalanan menuju kenikmatan.
Manusia ini hidupnya kebanyakannya pada tahu. Bukan pada faham dan mengerti. Sebab itu ramai yang cemerlang dalam SPM tetapi kandas dalam pekerjaan. Kerana dia cuma
tahu apa itu A,B, dan C tapi tidak tahu untuk apakah itu? Kerana itu juga remaja ramai yang kandas dalam masalah sosial sedangkan sejak kecil dididik untuk elak segala
kerosakan, kemungkaran di dunia tetapi nasihat itu dia cuma ambil tahu, dan tidak difahami dengan hati. Kenapa tidak boleh? Kenapa dia perlu menjaga diri? Kenapa?
Kerana itu juga ketika bait seruan solat kedengaran ,
Assolatu khoiru minan naummmm!
Solat itu lebih baik daripada tidur!
Tapi kenapa masih ramai yang tarik selimut dan teruskan tidur? Sebab kita cuma tahu maksudnya, tidak sampai dihati untuk difahami. Untuk dimengerti.
Sebab itulah masih ramai yang kecewa bila tidak dapat sesuatu yang diinginkan, kerana tiada kefahaman dengan "Percaya dan yakin pada janji Allah."
Tahukah kau setiap kali kau gagal dalam sesuatu yang telah kau usahakan, demi Allah, sehinggakan kegagalan itu juga menjadi pahala kau. Kerana kau berjuang demi Nya.
Tapi jika bukan kerana Nya, makan apa pun yang kau buat kau tidak akan pernah puas. Kau hilang kebahagiaan dalam perjalanan usaha kau. Kau hilang nikmat pada hasil kau. Apa yang kau niatkan, itulah yang kau akan dapat.
Hidup ini, setiap perjalanannya adalah kebahagiaan. Umpama roda, bila kau di atas akan tiada masalah asalkan kau bersyukur. Dan jika kau di bawah juga, kau tidak akan terseksa asalkan kau bersabar. Kerana setiap senyuman kesyukuran ketika senang meskipun tangisan kesabaran ketika kau dalam kesukaran, semuanya akan diberi ganjaran pahala. Dan kau tahu kan, ganjaran pahala itu membawa kepada apa? Senyum.
Hidup itu bukan pada ujian semata, bukan pada kesenangan semata, tetapi pada bagaimanakah kita melihat, dan menangangi ujian itu.
Hidup ini bukan mengejar kebahagiaan semata. Sekadar mengejar kenikmatan dunia.
Tetapi hidup ini adalah untuk mengejar makna.
Jadi apakah makna kehidupan anda hari ini?
Teruskan berbaring sambil berfikir sehingga glow in the dark itu semakin suram dan teruskan merenung teh yang mungkin sudah sejuk di atas meja.
p/s : terima kasih Sir Saiful menjadi inspirasi hari ini :)
No comments:
Post a Comment